Hotel Hard Rock terbesar Asia dibuka di Genting Highlands pada 2027

KUALA LUMPUR 16 Okt - King's Park, pembangunan bersepadu pelbagai guna di Genting Highlands akan membuka hotel Hard Rock terbesar di Asia dipanggil Hard Rock Genting Highlands pada 2027.

King's Park Development Sdn Bhd berkata, Hard Rock Genting Highlands setinggi 45 tingkat akan menampilkan 371 bilik dan 630 suite, menjadikan keseluruhan 1,001 bilik dan suite, 200 meter persegi ruang runcit dipanggil 'Rock Shop', selain kolam renang panas, ruang makan, spa selain lounge dan bar.

Ia juga sebahagian daripada fasa ketiga pembangunan King's Park, kata kenyataan itu.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion, King's Park akan dibangunkan dalam lima fasa, merangkumi komponen kediaman, komersial dan hiburan.

Sementara itu, perjanjian bagi pembangunan Hard Rock Genting Highlands dimeterai Sabtu lalu oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Global Hard Rock International, Todd Hricko bersama Pengerusi HR Resort & Residences Sdn Bhd, Lim Kim Chai.

HR Resort & Residences adalah pemilik dan pembina Hard Rock Genting Highlands, manakala Hard Rock International adalah operator hotel berkenaan.

Perjanjian disaksikan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Hotel Asia Pasifik Hard Rock International, Edward Chan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama King's Park Development, Datuk Jayandren Subramaniam serta Naib Presiden Eksekutifnya, Sean Chen.

Selain hotel itu, King's Park juga akan menyaksikan pembangunan taman tema, hartanah kediaman dan kemudahan perubatan, lapor Berita Harian.

Keseluruhan pembangunan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 10 tahun.