Hard Rock Hotel Terbesar di Asia Bakal Dibuka di Genting Highlands !

Hotel Hard Rock yang terbesar di Asia dipanggil Hard Rock Genting Highlands akan dibuka di sebuah kawasan pembangunan bersepadu pelbagai guna baharu, King's Park, Genting Highlands pada 2027.

Hard Rock Genting Highlands setinggi 45 tingkat akan menampilkan 371 bilik dan 630 suite, menjadikan keseluruhan 1,001 bilik dan suite, 200 meter persegi ruang perniagaan dipanggil 'Rock Shop', selain kolam renang panas, ruang makan, spa selain lounge dan bar. Ia merupakan sebahagian daripada fasa ketiga pembangunan King's Park.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion, King's Park akan dibangunkan dalam lima fasa, merangkumi komponen kediaman, komersial dan hiburan.

Selain hotel itu, King's Park juga akan menyaksikan pembangunan taman tema, hartanah kediaman dan kemudahan perubatan.

Keseluruhan pembangunan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 10 tahun.

Perjanjian bagi pembangunan Hard Rock Genting Highlands dimeterai Sabtu lalu oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Global Hard Rock International, Todd Hricko bersama Pengerusi HR Resort & Residences Sdn Bhd, Lim Kim Chai.

HR Resort & Residences adalah pemilik dan pembina Hard Rock Genting Highlands, manakala Hard Rock International adalah operator hotel berkenaan.