KUALA LUMPUR: King's Park, pembangunan bersepadu pelbagai guna di Genting Highlands akan membuka hotel Hard Rock terbesar di Asia dipanggil Hard Rock Genting Highlands pada 2027.

King's Park Development Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, Hard Rock Genting Highlands setinggi 45 tingkat akan menampilkan 371 bilik dan 630 suite, menjadikan keseluruhan 1,001 bilik dan suite, 200 meter persegi ruang runcit dipanggil 'Rock Shop', selain kolam renang panas, ruang makan, spa selain lounge dan bar.

Ia juga sebahagian daripada fasa ketiga pembangunan King's Park, kata kenyataan itu.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion, King's Park akan dibangunkan dalam lima fasa, merangkumi komponen kediaman, komersial dan hiburan.

Sementara itu, perjanjian bagi pembangunan Hard Rock Genting Highlands dimeterai Sabtu lalu oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Global Hard Rock International, Todd Hricko bersama Pengerusi HR Resort & Residences Sdn Bhd, Lim Kim Chai.

HR Resort & Residences adalah pemilik dan pembina Hard Rock Genting Highlands, manakala Hard Rock International adalah operator hotel berkenaan.

Perjanjian disaksikan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pembangunan Perniagaan Hotel Asia Pasifik Hard Rock International, Edward Chan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama King's Park Development, Datuk Jayandren Subramaniam serta Naib Presiden Eksekutifnya, Sean Chen.

Selain hotel itu, King's Park juga akan menyaksikan pembangunan taman tema, hartanah kediaman dan kemudahan perubatan.

Keseluruhan pembangunan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 10 tahun.


King’s Park membabitkan lebih 61 hektar tanah pegangan bebas

KUALA LUMPUR: King’s Park Development Sdn Bhd berada di landasan untuk membangunkan King's Park, daerah pusat perniagaan (CBD) pertama di Genting Highlands, dengan kerjasama Yuk Tung Group dan Persatuan Promosi Pendidikan Tinggi di Malaysia (APHEM).

Memanfaatkan ketibaan pelancong yang tinggi di Genting Highlands, King's Park ialah projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10 bilion.

Membabitkan lebih 61 hektar tanah pegangan bebas, pembangunan yang akan datang terdiri daripada kombinasi unik tawaran komersial, kediaman dan rekreasi bersepadu.

"Pembangunan ini akan bersedia untuk mendapat manfaat yang besar daripada kemasukan peluang pelaburan dan pembangunan di Genting.

"Genting Highlands diunjurkan menerima 53 juta pelawat menjelang 2026 dengan kawasan tadahan melebihi 700,000 orang dalam radius lima kilometer (km)," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan King’s Park Development, Jayandren Subramaniam kepada Bernama.

Beliau menambah, King's Park juga akan menampilkan kehadiran signifikan jenama-jenama terkenal di peringkat antarabangsa, yang menawarkan pengalaman baharu yang belum tersedia di Malaysia.

"Terdapat banyak aktiviti dan tarikan 'outdoor', seperti sukan eko, denai berbasikal gunung dan taman tema berasaskan alam semula jadi, termasuk terarium terbesar di dunia yang berukuran lebih 600 meter panjang," kata beliau.

Jayandren berkata, fasa pertama projek itu, dengan GDV RM1 bilion, membabitkan pembangunan 12 blok lot kedai, terdiri daripada 360 unit, setiap satu berukuran 22 kaki X 75 kaki.

Berharga di antara RM2.8 juta dan RM3.8 juta, beberapa unit di tingkat bawah mempunyai siling yang tinggi, berukuran 6.5 meter (m).

Dijadualkan untuk siap pada tahun 2026, komponen komersial dalam projek itu termasuklah kedai jalanan dengan laluan pejalan kaki sepanjang 2.0 km, menampilkan gabungan seni bina kolonial dan vintaj.

"Kawasan peruncitan, termasuk kedai makanan dan minuman, juga akan membolehkan pengunjung menikmati makanan di kawasan terbuka dengan pemandangan tepi sungai yang memanjang kira-kira 500m," katanya.

Pembangunan itu juga turut merangkumi pembinaan tiga hotel, termasuk resort Swissôtel Genting Highlands yang bertaraf dunia.

Sementara itu, bahagian untuk pembangunan kediaman King's Park akan bermula pada fasa tiga, bermula dari 2026.

"Biasanya apabila orang ramai pergi ke Genting Highlands, sukar untuk mereka mendapatkan bilik kerana kebanyakan unit dikhaskan untuk ahli sahaja, jadi pilihan yang lebih luas di King's Park akan menarik lebih ramai orang ke kawasan itu," katanya.

"Biasanya apabila orang ramai pergi ke Genting Highlands, sukar untuk mereka mendapatkan bilik kerana kebanyakan unit dikhaskan untuk ahli sahaja, jadi pilihan yang lebih luas di King's Park akan menarik lebih ramai orang ke kawasan itu," katanya.

Pembangunan itu juga turut bertujuan menarik pelancong Islam antarabangsa kerana ia merangkumi hab runcit halal dan hotel butik yang memenuhi keperluan pelanggan Islam, memanfaatkan pasaran yang semakin berkembang untuk pengembaraan halal.

Jayandren juga menegaskan bahawa pembangunan itu bukan sahaja akan menarik pelancong dan pengembara perniagaan, tetapi juga memberi khidmat kepada masyarakat sekitar dan melengkapkan pembangunan lain di kawasan itu.

"Walaupun kita mengalami situasi yang sama seperti pandemik, pembangunan akan dapat dikekalkan dan perniagaan akan diteruskan seperti biasa kerana ia akan memberi khidmat kepada masyarakat secara amnya, bukan hanya kepada pelancong semata-mata," katanya.

King's Park tampilkan taman tema berasaskan alam semula jadi, terarium terbesar di Malaysia

Naib Presiden Eksekutif King’s Park Development, Sean Chen, berkata salah satu tarikan unik King's Park ialah taman tema berasaskan alam semula jadi.

"Kedua-dua taman tema ini akan melengkapkan taman tema di Genting Highlands yang mana kami lebih memfokuskan alam semula jadi, manakala Genting lebih tertumpu secara 'indoor' dan studio," katanya.

Berkeluasan 200,000 kaki persegi, taman tema itu akan menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung kerana ia terletak di dalam hutan Pahang.

Ia juga akan menampilkan terarium terbesar di Malaysia, yang mana pelawat boleh berjalan di laluan tepi sungai untuk ketenangan yang terbaik.

Chen berkata, King's Park akan dibangunkan dalam lima fasa, dan akan mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk disiapkan.

"Apa yang kami sasarkan untuk dibangunkan di sini adalah lebih daripada sekadar hotel dan taman tema, tetapi ekosistem CBD lengkap yang mampu berdiri sendiri dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan itu," tambahnya.